Hamba Allah menulis "Assalamualaikum...
Di sini ingin disentuh tentang pemakaian tudung kaum wanita masa kini sebagai renungan bagi wanita Islam. Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan muhram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki.
Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita, Kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak. Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia.
Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan. Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat-pejabat.
Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan sebagainya. Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya. Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini.
Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula dengan kerongsang (broach) yang menarik. Labuci warna-warni dijahit pula di atasnya. Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan suratkhabar fesyen untuk tudung. Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita.
Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita. Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan muhramnya. Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab.
Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya.
Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh memakai tudung?
Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki . Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan muhramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya.
Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini. Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka rasakan bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung. Lebih baik tidak bertudung. Mereka rasa lebih bebas lagi.
Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam Islam. Walaupun bertudung, perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan Islam. mereka tidak nampak perbezaan agama Islam dengan agama mereka.
Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk dakwah orang lain. Selama ini kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam. Kita sebenarnya pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain tapi hanya melalui pakaian.
Kalau kita menutup aurat, tetapi tidak terus memperbaiki diri zahir dan batin dari masa ke semasa, kitalah punca gagalnya mesej Islam untuk disampaikan. Jangan lihat orang lain. Islam itu bermula dari diri kita sendiri.
Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh jadi baik tidak boleh pakai tudung. Aurat, wajib ditutup tapi dalam masa yang sama, perbaikilah kesilapan diri dari masa ke semasa. Tudung di luar tudung di dalam (hati). Buang perangai suka mengumpat, berdengki, berbangga, ego, riak dan lain-lain penyakit hati.
Walau apapun, kewajipan bertudung tidak terlepas dari tanggungjawab setiap wanita Muslim. Samada baik atau tidak akhlak mereka, itu adalah antara mereka dengan Allah. Amat tidak wajar jika kita mengatakan si polanah itu walaupun bertudung, namun tetap berbuat kemungkaran. Berbuat kemungkaran adalah satu dosa, manakala tidak menutup aurat dengan menutup aurat adalah satu dosa lain.
Kalau sudah mula menutup aurat, elak-elaklah diri dari suka bertengkar. Hiasi diri dengan sifat tolak ansur. Sentiasa bermanis muka. Elakkan pergaulan bebas lelaki perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir dengan teman lelaki. Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang Allah sudah tetapkan jodoh masing-masing. Yakinlah pada ketentuan qada' dan qadar dari Allah.
Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan amalan lain. Cuba jangan tinggal sembahyang lagi terutama dalam waktu bekerja. Cuba didik diri menjadi orang yang lemah-lembut. Buang sifat kasar dan sifat suka bercakap dengan suara meninggi. Buang sikap suka mengumpat, suka mengeji dan mengata hal orang lain. Jaga tertib sebagai seorang wanita. Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam. Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi wanita muslimah.
Barulah orang terpikat untuk mengamalkan Islam. Dengan ini, orang bukan Islam akan mula hormat dan mengakui "Islam is really beautiful." Semuanya bila individu Islam itu sudah cantik peribadinya. Oleh itu wahai wanita-wanita Islam sekalian, anda mesti mengorak langkah sekarang sebagai agen pengembang agama melalui pakaian.
Saturday, February 21, 2009
Nilai Tudung Wanita
Otak Manusia
"Otak hanyalah aktiviti-aktiviti bio-elektrik yang melibatkan sekumpulan saraf yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan tugas-tugas
tertentu bagi membolehkan ia berfungsi dengan sempurna. Setiap hari 14
juta saraf yang membentuk otak ini berinteraksi dengan 16 juta saraf
tubuh yang lain. Semua aktiviti yang kita lakukan dan kefahaman atau
ilmu yang kita peroleh adalah natijah daripada aliran interaksi
bio-elektrik yang tidak terbatas.
Oleh itu, apabila seorang itu berzikir dengan mengulangi
kalimat-kalimat Allah, seperti Subhanallah, beberapa kawasan otak yang
terlibat menjadi aktif. Ini menyebabkan berlakunya satu aliran
bio-elektrik di kawasan-kawasan saraf otak tersebut. Apabila zikir
disebut berulang-ulang kali, aktiviti saraf ini menjadi bertambah aktif
dan turut menambah tenaga bio-elektrik. Lama-kelamaan kumpulan saraf
yang sangat aktif ini mempengaruhi kumpulan saraf yang lain untuk turut
sama aktif. Dengan itu, otak menjadi aktif secara keseluruhan.
Otak mula memahami perkara baru, melihat dari sudut perspektif
berbeza dan semakin kreatif dan kritis, sedang sebelum berzikir otak
tidak begini. Otak yang segar dan cergas secara tidak langsung
mempengaruhi hati untuk melakukan kebaikan dan menerima kebenaran.
Hasil kajian makmal yang dilakukan terhadap subjek ini dimuatkan
dalam majalah Scientific American, keluaran Disember 1993. satu kajian
yang dilakukan di Universiti Washington dan ujian ini dilakukan melalui
ujian imbasan PET yang mengukur kadar aktiviti otak manusia secara tidak
sedar.
Dalam kajian ini, sukarelawan diberikan satu senarai perkataan
benda. Mereka dikehendaki membaca setiap perkataan tersebut satu persatu
dan mengaitkan perkataan-perkataan dengan kata kerja yang berkaitan.
Apabila sukarelawan melakukan tugas mereka, beberapa bahagian berbeza
otak mempamerkan peningkatan aktiviti saraf, termasuk di bahagian depan
otak dan korteks.
Menariknya, apabila sukarelawan ini mengulangi senarai perkataan
yang sama berulang-ulang kali, aktiviti saraf otak merebak pada kawasan
lain dan mengaktifkan kawasan saraf lain. Apabila senarai perkataan baru
diberikan kepada mereka, aktiviti saraf kembali meningkat di kawasan
pertama. Ini sekali gus membuktikan secara saintifik bahawa perkataan
yang diulang-ulang seperti perbuatan berzikir, terbukti meningkatkan
kecergasan otak dan menambah kemampuannya.
Oleh itu, saudara-saudara ku seIslam, ketika saintis Barat baru
menemui mukjizat ini, kita umat terpilih ini telah lama mengamalkannya
dan menerima manfaatnya. Malang bagi mereka yang masih memandang enteng
kepentingan berzikir dan mengabaikannya."
Tuesday, January 27, 2009
Terkenang semasa dulu
YB Nizar Zakaria ( MP Parit ). Cukup bergaya dan berketrampilan sebagai politikus. Saya memanggilnya Buya Nizar sebab ketokohannya dan kelulusannya dalam bidang agama semasa sama-sama menuntut di Padang Sumatera. Sejak dalam Persatuan Pelajar-Pelajar Malaysia di Indonesia Cabang Padang lagi beliau dah aktif menubuhkan dan terlibat secara aktif dalam Kelab UMNO cabang Padang. Akhirnya cita-cita beliau untuk menjadi ahli politik berjaya. Semoga beliau sentiasa berada dalam landasan yang betul dalam memperjuangkan kebajikan rakyat dan bukannya memperjuangkan kepentingan sendiri. Agak-agak ingat lagi kepada kekawan dulu.....
Gambar ini diambil semasa seminar Pelajar -pelajar Malaysia di Lembang , Bandung Indonesia pada tahun 1994. Semua dari Tajaan Kerjaan Negeri Perak. Duduk dari kiri Punte , Yenggi, Qunut Senior ( arwah ) dan Qunut Junior. Cuaca dibandung memang sejuk dan cewek-cewekny aduhai cakep-cakep belaka. Nasib baik kuat iman.
Gambar semasa berehat selepas seminar pelajar dihadapan bilik rehat di Bandung Indonesia. Topi yang dipakai ni dibeli semasa dalam perjalanan dari Kota Padang ke Bandung yang memakan masa selama 2 hari 1 malam perjalanan menaiki van yang disewa. Bayangkanlah macam mana jauhnya. Tapi sangat menyeronokkan dan kenangan yang tak boleh dilupakan.
Masa muda-muda dulu semua hensem-hensem belaka. Aku masa ni 22 tahun dan masih kurus kering sebab tak de sapa yang bela aku. Makan kena cari sendri. Bergambar di PPM ( Pusat Pelajar Malaysia Cabang Padang ). Dari kiri YB Nizar Zakaria ( MP Parit sekarang ), Anuar Mushadad ( Noir, budak Tiram JB . Lama dah tak dengar cereta dia ni ) dan aku seorang perantau. He...he..hensem oiii masa ni.
Bergambar di hadapan bangunan Rektor IKIP Padang , Sumatera Barat . Tempat aku mendapatkan Ijazah Sarjana Pendidikan aku. Teringin nak berkunjung kesana tapi duit tak mengizinkan. Nantilah kalau ada rezeki ingat nak bawa family aku jalan ke Padang.
Gambar masa Majlis Konvo aku di Padang. Di Indonesia orang sebut Wisuda. Antara sahabat-sahabat yang setia meraikan aku semasa majlis Konvo aku. Tak ada saudara mara atau ibubapa aku yang datang meraikan kejayaan aku masa ni. Yelah mana nak cari duit terbang ke Indo nak rai aku. Yang penting mereka dah besarkan aku cukup dengan kasih sayang dan doa mereka yang ikhlas. Tetap dalam kenangan Alex ( Mohd Razin) , Jamini Francis, Fauziah dan sahabat Indon aku .
Monday, January 19, 2009
Kepulangan Dari Tanah Suci Makkah
Haji Shahidin dan Hajjah Sarimah..terima kasih kerana ole-ole jubah dari Mekah. Takut gak nak pakai gi surau sebab salah gaya dia orang tolak jadi imam terus demam nak tanggung dosa orang. Dahlah sembahyang asyik berangan je...bila aku dapat khusyuk sembahyang macam Syaidina Ali yang dicabut anak panah semasa bersembahyang tapi tak rasa sakitpun. Aku...time sembahyang le nak gatai satu badannya..
Senyum ada makna tu mak oiii. Mentang-mentanglah dah dapat title Hajjah bukan main lagi lebar senyuman mak aku ni. Alhamdullilah semoga emak diberkati Allah selalu hendaknya.
Sunday, January 18, 2009
Playstation 2




Apa bendanya tu..aku tak tahulah budak-budak zaman sekarang punya permainan. Along minta aku belikan sebab minat nak main benda tu . Aku try gak berdalih dan main tarik tali dengan dia. HAmpir setahun gak baru aku belikan sebab tak mahu dia ingat semua benda kalau minta boleh dapat dengan mudah. Sebenarnya aku tak mahu la anak aku dok mengendeng rumah jiran main PS2 ni sebab selalu hilang dari rumah dan masuk rumah jiran untuk main menantang ni.So aku belilah untuk anak anak. Sapa tak sayang anak oiii..lebih lebih lagi anak mak mertua. KAlau boleh nak........selalu .
Hari pertama persekolahan Niesa
Yang si kecik tu yang beria-ia nak sekolahnya. Puas alongnya pujuk keluar dari kelas tapi buat tak tau je. Siap bawa beg lagi tu. Harap-harap time dia masuk sekolah nanti tak buat perangai nanti

Hari pendaftaran pertama . Semangat nak sekolah. Tapi balik rumah komplen tak ada siapa pun nak kawan dengan kakak. Sabar sayang lama-lama ramailah kawan tu. Hari ketiga terus dilantik jadi Ketua Kelas. KAlau Along dulu jadi ketua kelas selama seminggu sebelum dilucutkan jawatan sebab mulut bising, kakak pulak berapa lama ye. Dua kali lima je mulut tu. Anak cikgu azmi la katakan....

Rasanya dah agak lama dah aku tak memblog.Sibuk..itulah istilah dan alasan yang paling tepat yang dapat aku berikan atau huraikan. Al maklumlah sebagai seorang guru, aku kena prepare macam-macam kat sekolah, sebagai seorang bapa aku kena sediakanmacam-macam untuk family aku dan sometime untuk diri sendiri pun tak ada masa..kesian kat akukan. So kali ini aku nak kongsi tentang anak aku yang no 2 tu masuk sekolah. Biasalah....exicted ada plus ngada-ngada tu biasalah. RTapi seronok sangat bila tengok perkembangan anak-anak ni. Rasa baru semalam aku projek buat anak tup-tup dah masuk sekolah.... Dunia cepat berputar ke atau aku yang dah semakin tua..tapi masalahnya hati tu rasa macam nak masuk 20 tahun je. sapa nak jawab tu.
Jadi tengok jelah apa yang patut..bye. Selamat Tahun Baru Hijrah, Masehi, Ponggal dan Cina.
Saturday, January 17, 2009
Kenali Yahudi
Kehilangan tanah Palestin di tanahair sendiri. Yang berwarna hijau tanah Palestin, yang berwarna putih tanah Israel. Ini dari tahun 1946 sampai tahun 2000. Yang terkini nampaknya makin kecil tanah Palestin.
Yang hampehnya Israel mengatakan Hamas sebagai terrorist sedangkan dahulu itu tanah Palestin yang punya
SEJAK 18 hari ini seluruh dunia meratap gara-gara kezaliman Israel. Tentera Zionis terus-menerus mengebom, mengganyang rakyat Palestin. Israel, nampaknya terlalu berkuasa.
Saya tidak 'berkuasa' lagi untuk mengulas panjang mengenai peperangan sebelah pihak itu. Tapi saya ingin berkongsi dengan pembaca sekelian, siapa sebenarnya Yahudi ini dan mengapa mereka terlalu berkuasa.
Kita harus kaji secara akademik, ilmiah untuk mengetahui siapa mereka ini.
Saya amat tertarik dengan tulisan seorang penulis bebas, yang juga Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Kajian Keselamatan (CRSS) Pakistan, Dr. Farrukh Saleem (rujuk http://www.masada2000.org/Powerful-Jews.html) mengenai soal tersebut. Jadikanlah tulisan itu sebagai tatapan dan renungan kita semua - ke mana kita dan ke mana umat Islam harus pergi selepas ini. Dan, siapa yang harus disalahkan? (Nota: Sedikit sebanyak ia juga akan menjawab surat-surat dan SMS yang dihantar untuk ruangan Forum, Utusan Malaysia yang meminta ditonjolkan apakah produk di belakangnya Yahudi).
Begini tulisan beliau:
Hanya ada 14 juta Yahudi di muka bumi ini; tujuh juta di Amerika, lima juta di Asia, dua juta di Eropah dan 100,000 di Afrika. Bagi setiap orang Yahudi ada 100 orang Muslim (1:100). Namun, jika dicampur semua sekali, Yahudi lebih 100 kali berkuasa daripada orang Islam. Mengapa ini berlaku?
Siapa mereka ini?
Nabi Isa (Jesus of Nazareth) ialah Yahudi. Albert Einstein, saintis zaman moden paling terkemuka dan disebut oleh majalah Time sebagai 'Manusia Abad ini' ialah seorang Yahudi; Sigmund Freud - melalui teori id, ego dan super-ego ialah bapa psikoanalisis, juga seorang Yahudi; begitu juga Karl Marx, Paul Samuelson dan Milton Friedman.
Selain mereka banyak lagi orang Yahudi yang hasil kebijaksanaan mereka berupaya menghasilkan keperluan untuk kita semua: Benjamin Rubin memperkenalkan jarum suntikan pelalian.
Johas Salk mereka vaksin polio yang pertama. Gertrude Elion mencipta ubat melawan leukemia. Baruch Blumberg mencipta vaksin Hepatitis B. Paul Ehrlich menemukan rawatan untuk siflis. Elie Metchnikoff menang Hadiah Nobel untuk penyakit berjangkit. Bernard Katz menang Hadiah Nobel kerana kajian mengenai transmisi neuromuskular.
Andrew Schally penerima Nobel dalam kajian endokrinologi (berkaitan sistem endokrin dan kencing manis). Aaron Beck menemui terapi kognitif (rawatan mental, kesugulan dan fobia).
Gregory Pincus membangunkan pil perancang keluarga yang pertama. George Wald menang Nobel bagi kajian mata manusia, Standley Cohen dianugerahi Hadiah Nobel dalam kajian embriologi (kajian janin dan perkembangannya). Willem Kolff mencipta mesin dialisis (mencuci) buah pinggang.
Sejak 105 tahun, 14 juta Yahudi menang 15 dozen Hadiah Nobel, sementara tiga dimenangi oleh 1.4 bilion umat Islam.
Stanley Mezor mencipta mikrocip pertama. Leo Szilards membangunkan reaktor rangkaian nuklear pertama; Peter Schultz (kabel gentian optik); Charles Adler (lampu isyarat); Benno Strauss (besi tahan karat - stainless steel); Isador Kisee (sistem suara di pawagam); Emile Berliner (mikrofon untuk telefon) dan Charles Ginsburg (alat pita rakaman).
Saudagar jenama terkaya dunia juga dikuasai Yahudi iaitu Ralph Lauren (Polo), Levis Strauss (Levi's Jeans), Howard Schultz (Starbuck's), Sergey Brin (Google), Michael Dell (Dell Computers), Larry Ellison (Oracle), Donna Karan (DKNY), Irv Robbins (Baskin & Robbins) dan Bill Rossenberg (Dunkin Donuts).
Richard Levin, presiden universiti tersohor Yale Universiti ialah seorang Yahudi. Henry Kissinger, Joseph Lieberman dan Madeleine Albright (bekas-bekas Setiausaha Negara AS); Alan Greenspan (bekas pengerusi Rizab Persekutuan AS di bawah Reagan, Bush, Clinton dan Bush); Maxim Litvinov (bekas Menteri Luar Soviet Union); David Marshal (bekas Ketua Menteri pertama Singapura); Isaac Isaacs (bekas Gabenor Jeneral Australia); Benjamin Disraeli (negarawan dan penulis Britian); Yevgeny Primkov (bekas Perdana Menteri Rusia dan bekas jeneral KGB); Jorge Sampaio (bekas Presiden Portugal); Herb Gray (bekas Timbalan Perdana Menteri Kanada); Pierre Mendes (Perdana Menteri ke-143 Perancis); Michael Howard (bekas Setiausaha Negara British); Bruno Kreisky (bekas Canselor Austria) dan Robert Rubin (bekas Setiausaha Perbendaharaan AS).
Dalam dunia media, orang Yahudi yang terkemuka ialah Wolf Blitzer (CNN); Barbara Walters (ABC News); Eugene Meyer (Washington Post); Henry Grunwald (Ketua Editor Time); Katherine Graham (penerbit The Washington Post); Joseph Lelyyeld (Editor Eksekutif, The New York Times) dan Max Frankel (The New York Times).
Dermawan dan penyangak mata wang, George Soros ialah Yahudi. Dia menderma AS$4 bilion untuk membantu ahli sains dan universiti serata dunia..
Walter Annenberg menderma untuk membina ratusan perpustakaan berjumlah AS$2 bilion.
Di Olimpik, Mark Spitz membolot tujuh pingat emas. Lenny Krayzelburg ialah pemegang tiga kali pingat emas Olimpik. Spitz Krayzelburg dan Boris Becker adalah Yahudi.
Tahukah anda bahawa pelakon pujaan Harrison Ford, George Burns, Tony Curtis, Charles Bronson, Sandra Bullock, Billy Cystal, Woody Allen, Paul Newman, Peter Sellers, Dustin Hoffman, Michael Douglas, Ben Kingsley, Kirk Douglas, Willian Shatner, Jerry Lewis dan Peter Falk semuanya Yahudi?
Tambahan lagi, Hollywood sendiri diwujudkan oleh orang Yahudi. Antara pengarah dan penerbit, Steven Spielberg, Mel Brooks, Oliver Stone, Aaron Spelling (Beverly Hills 90210), Neil Simon (The Odd Couple), Andrew Vaina (Rambo 1- 2-3), Michael Man (Starsky and Hutch), Milos Forman (One Flew Over The Cuckoo's Nest), Douglas Fairbanks (The Thief Of Baghdad) and Ivan Reitman (Ghostbusters) - semuanya adalah Yahudi..
Mempengaruhi
Washington yang merupakan ibu negara Amerika Syarikat, mempunyai satu pertubuhan lobi yang amat berkuasa. Ia dikenali sebagai Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Amerika Israel (AIPAC) yang berupaya mempengaruhi Kongres meluluskan resolusi memuji dan 'membuat apa saja' demi Israel.
Tahukah lagi bahawa William James Sidis dengan IQ 250-300 ialah manusia tercerdik. Dia ialah Yahudi.
Jadi, mengapa mereka ini terlalu berkuasa?
Jawapannya: Pendidikan, pelajaran, ilmu.
Mengapa umat Islam terlalu lemah?
Dianggarkan 1,476,233,470 Muslim di atas muka bumi Allah ini. Satu bilion di Asia, 400 juta di Afrika, 44 juta di Eropah dan enam juta di Amerika. Setiap lima insan manusia ialah Muslim. Setiap seorang Hindu ada dua orang Islam, setiap seorang Buddha ada dua orang Islam dan setiap seorang Yahudi ada beratus orang Islam. Mengapa orang Islam terlalu lemah?
Ini jawapannya: Terdapat 57 negara anggota OIC dan jika dicampur semua cuma ada kira-kira 500 buah universiti; atau sebuah universiti untuk setiap tiga juta orang Islam.
AS mempunyai 5,758 universiti dan India ada 8,407. Pada 2004, Shanghai Jiao Tong Universiti membuat kajian 'Kedudukan Akademik Universiti-universiti Dunia' - dan menakjubkan - tiada satu pun universiti-negara Islam yang berada di puncak 500.
Data yang dikumpul dari UNDP, tahap celik huruf di negara maju ialah hampir 90 peratus dan 15 negara itu mempunyai 100 peratus celik huruf. Negara majoriti penduduk Islam, purata kadar celik huruf ialah sekitar 40 peratus dan tiada negara yang mempunyai 100 peratus semuanya celik huruf.
Sekitar 98 peratus penduduk di negara maju menamatkan sekurang-kurang sekolah rendah, sementara hanya 50 peratus di negara majoriti Islam. Sekitar 40 peratus penduduk di negara maju memasuki universiti, sementara hanya 2 peratus di negara majoriti Islam.
Negara-negara majoriti Islam mempunyai 230 ahli sains bagi setiap (per) sejuta penduduk.. Di AS 4,000 per sejuta, Jepun 5,000 per sejuta. Di seluruh negara Arab, penyelidik sepenuh masa ialah 35,000 dan hanya 50 juruteknik per sejuta (berbanding di negara maju 1,000 juruteknik per sejuta).
Negara Islam membelanjakan 0.2 peratus daripada KDNK untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebaliknya, di negara maju membelanjakan 5 peratus daripada KDNKnya.
Kesimpulan: Dunia Islam kurang keupayaan untuk menghasilkan ilmu pengetahuan.
Akhbar harian yang dibaca oleh setiap 1,000 orang dan jumlah judul buku yang dibaca oleh setiap sejuta orang adalah dua angka tunjuk bagi menentukan sama ada ilmu pengetahuan disalurkan ke dalam masyarakat.
Di Pakistan, hanya ada 23 akhbar harian per 1,000 rakyat Pakistan sementara nisbah di Singapura ialah 360. Di UK, jumlah judul buku per juta orang ialah 2,000 sementara di Mesir ialah 20.
Kesimpulan: Dunia Islam gagal menyalurkan ilmu pengetahuan.
Yang menariknya, jumlah terkumpul KDNK tahunan 57 buah negara ahli OIC ialah di bawah AS$2 trilion. Amerika sahaja, menghasilkan barangan dan perkhidmatan bernilai AS$12 trilion, China AS$8 trilion, Jepun AS$3.8 trilion dan Jerman AS$2.4 trilion.
Pengeluar minyak yang kaya, Arab Saudi, UAE, Kuwait, Qatar secara rangkuman menghasilkan barangan dan perkhidmatan (rata-rata minyak) bernilai AS$500 bilion; Sepanyol sahaja menghasilkan barangan dan perkhidmatan bernilai lebih AS$1 trilion, Poland AS$489 bilion dan Thailand AS$545 bilion.
Jadi, mengapa orang Islam tidak berkuasa dan orang Yahudi paling berkuasa?
Jawapannya ialah: Kurangnya ilmu. Kurangnya pendidikan dan kurangnya pelajaran
at 8:34:00 AM Posted by My-sensasi...
Labels: Gossips, Macam-Macam













